Manusia ini telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan pelbagai rezeki dan nikmat yang berbeza. Ada yang kaya, cerdik, sihat, sempurna sifat, bangsawan dan sebagainya. Setiap manusia ini ada kelebihan dan kekurangannya. Akan tetapi kesemua kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT bukanlah lesen untuk berlagak sombong dan bongkak serta takbur kepada mereka yang malang dan kurang bernasib baik.
Bagi yang beragama islam. Kita diwajibkan untuk mempercayai hari akhirat, hari dimana segala amal baik dan buruk kita akan dihitung. Kekayaan, kecantikan, kesihatan, kedudukan dan kepandaian adalah satu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Persoalannya adakah segala nikmat yang diberikan itu digunakan untuk menambah amal kebajikan dan sedekah jariah kita kepada Allah SWT? Atau semakin banyak dosa dan maksiat yang kita lakukan sehingga tiada insan yang mendapat manfaat daripada kurniaan Allah SWT tersebut?
Islam mengajarkan penganutnya akan erti kasih sayang, hormat-menghormati dan saling membantu sebagai satu ikatan sosial. Tanpa ikatan ini kekuatan ummah akan goyah dan kelangsungan ummah juga akan turut musnah.
Berlainan taraf dan berbeza kedudukan perlu difahami sebagai ujian Allah SWT atas nikmat yang diberi. Memandang hina orang bawahan, merasa jijik bergaul dengan golongan tidak setaraf, merasa terganggu dengan kehadiran orang kurang upaya dan meluat melayan orang sakit adalah ciri-ciri sikap sombong dan bongkak yang ditegah oleh Islam.
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud, “DAN janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Luqman: 18)
Segalanya hanyalah pinjaman sementara dan akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT berbekalkan amal kebajikan semata-mata. Kita perlu sedar, kehidupan ini ibarat roda yang berputar. Adakalanya kita di atas dan adakalanya kita berada di bawah. Perlu diingat kemungkinan satu hari nanti nasib kita pula berubah daripada kaya menjadi miskin, daripada cantik menjadi hodoh, daripada sihat menjadi cacat dan demikianlah seterusnya. Sesungguhnya kesombongan dan ketakburan yang kita zahirkan tidak akan membawa kita menjadi lebih hebat dan nikmat yang berkekalan.
Sikap sombong dan bongkak terhadap orang yang kurang bernasib baik adalah sifat terkutuk dan dikeji oleh Islam. Kesyukuran terhadap nikmat kurniaan Allah SWT wajar dizahirkan dengan sifat hormat-menghormati dan memperbanyakkan amal kebajikan di dunia. Kesombongan dan ketakburan tidak membawa kita ke mana-mana selain mengundang kemurkaan Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menilai manusia daripada amal perbuatan dan bukannya kehebatan zahir seperti pangkat, harta dan rupa paras.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sila tekan Butang Like selepas membaca. :)